abah dan umi,
belikan aku 5 pasang baju sekolah baru, 2 kasut putih, 1 beg roda, selengkap-lengkapnya,
selengkap yang mampu,
demi aku,
anak pertama dalam keluarga hendak ke sekolah
abah dan umi,
pegang tangan kecil ini,
dengan senyuman dan bebelan,
aneh,
aku masih ingat setiap satu saat itu,
bagai semalam ia berlaku,
saat itu, deretan manusia mengintai dari ruang kecil tingkap bilik darjah, melambai, melihat isi di dalam yang serba putih,
bau kedai bercampur dengan bau bedak johnson,
rambut disikat rapi ke sisi, bersinar disalut minyak,
ditocang dua seketat ikatan mati,
hingit bingit bunyi bercampur,
kata-kata semangat bergema,
teriak tangisan anak menarik perhatian semua,
gelak tawa ibu dan ayah melihat gelagat anak,
suara lembut guru memujuk,
aku genggam erat tangan abah yang sejuk,
mungkin dia gemuruh,
mungkin gembira,
mungkin tidak percaya,
anaknya sudah meningkat usia,
lalu aku pun melangkah masuk,
dan pada saat ini, pada umur yang hampir menjangkau 22,
aku sedar, masa berlalu pantas,
terlalu pantas sehingga aku boleh lihat kedutan usia di wajah kedua orang tua aku,
aku boleh lihat adik aku masuk ke universiti,
aku boleh lihat aku bukannya budak kecil lagi,
aku minta pada tuhan, makbulkanlah permintaan aku,
berikanlah aku masa yang panjang untuk aku bersama umi dan abah,
syahmi dan aimi,
oyen, bubu dan abu,
kerana sesungguhnya kerana mereka aku di sini, kerana sesungguhnya, di dunia yang luas ini ya Tuhan,
dibawah langit dan di atas tanahMu ini,
hanya mereka yang aku ada,
jadi,
makbulkanlah doaku ya Tuhan,
walaupun aku hambaMu yang sentiasa mengingkar.